SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KEMPAS

   JOHOR BAHRU, JOHOR 

   TEL : 07 2320407 FAX : 07 - 2320409

SEJARAH SMKK

::Laman Utama  >> Sejarah SMKK

Pembinaan SMKK

                     Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas (SMKK) bermula pada awal tahun 1995 di atas tanah seluas 2.5 hektar di pinggir Jalan Dataran 4, Taman Kempas, Johor Bahru. Lokasi taman di pinggir bandar ini adalah sejauh kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru. Menurut Encik Esa bin Abu Bakar, Naib Ketua UMNO Cawangan Taman Kempas, pemilihan premis sekolah menengah (sebagai salah satu cadangan pembangunan tanah tersebut) diputuskan oleh Jawatankuasa Bertindak penduduk setempat setelah mengambil kira keperluan bersekolah menengah untuk anak-anak para penduduk Taman Kempas dan kawasan sekitarnya. Ini kerana ibu bapa di sekitar kawasan Kempas terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah yang lokasinya agak jauh dari tempat tinggal mereka. Kesepakatan hasrat ini mendorong jawatankuasa yang didukung oleh Pergerakan UMNO Taman Kempas mengetengahkan pemohonan mendirikan sebuah sekolah menengah di tapak tanah tersebut kepada pihak berwajib. Kerja-kerja pembinaan bermula seawal 1995 dan bangunan sekolah yang tersergam indah mula kelihatan sempurna menjelang akhir tahun 1997.

Permulaan Operasi SMKK

                    SMKK memulakan operasinya sebagai sebuah institusi pendidikan pada 5 Januari 1998 (Isnin) dengan 21 orang guru, 6 orang staf sokongan dan 677 orang pelajar. Sebelum itu, mesyuarat pertama guru-guru yang di tempatkan di sekolah ini diadakan pada 2 Januari 1998 (Jumaat). Pendaftaran pelajar diadakan pada 3 Januari 1998 (Sabtu). Pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 4 didatangkan dari SMK Sri Rahmat, SMK Dato' Abdul Rahman Yassin dan SMK Bandar Baru UDA, sementara pelajar-pelajar Tingkatan Peralihan dan 1 dari SK Kempas, SK Kampung Maju Jaya, SJKC Kempas Baru, serta beberapa sekolah rendah lainnya.

 

                    1998 menyaksikan SMKK beroperasi pada sesi persekolahan sebelah pagi sahaja. Sebanyak 22 buah kelas dibuka dan kelas-kelas tingkatan 1 dan 2 dinamai Arif, Bestari, Cemerlang, Dedikasi, Erat, Fitrah, Gemilang, Hikmah dan Ikhtiar. Dari semasa ke semasa sejak pembukaannya, SMKK sentiasa menerima kemasukan pelajar-pelajar baru dan mendapat bekalan tenaga pengajar. Sehingga November 1998, jumlah pelajar bertambah menjadi 835 orang, sementara jumlah guru adalah sebanyak 51 orang.

 

                    Bermula pada tahun 1999, SMKK menjalani persekolahan untuk sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi menampung pelajar-pelajar Tingkatan Peralihan, Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 , sementara sesi petang untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 . Pada tahun itu, jumlah guru bertambah daripada 51 orang kepada 64 orang sementara jumlah staf sokongan bertambah kepada 7 orang.

Pembentukan Identiti SMKK

                    Sebagai sebuah sekolah baru pada ketika itu, SMKK mula bergerak ke arah pembinaan jatiditi, identiti dan wajah sendiri serta kecintaan terhadap SMKK oleh warganya. Pelbagai usaha telah, sedang dan akan dilakukan dan akan terus dipertingkat untuk pembinaan budaya SMKK yang positif. Agenda dan aspirasi sekolah dimaktubkan selaras dengan dasar kependidikan negara serta hasrat Falsafah Pendidikan Negara. Peraturan Sekolah digubal dan dikuatkuasakan. Lencana, bendera dan lagu SMKK dicipta. Sebuah Jawatankuasa Penaja PIBG dibentuk dan memulakan aktivitinya seawal Julai 1998. Kerja-kerja dalam projek keceriaan sekolah terus menerus dijalankan. Pelbagai program pembangunan staf dan pelajar, akademik dan ko-kurikulum dirancang dan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Media Informasi SMKK

                    Laman Web SMKK mula direkabentuk yang dinamakan SEMARAK WEB (SMKK On-Line) itu mula dikunjungi pelungsur Internet mulai 16 Ogos 1998 di alamat http://www.johorlife.com.my/smkk&g Menjelang pertengahan 1999, SEMARAK WEB direnovasi, bercirikan kesederhanaan dan kekemaskinian, di alamat http://www.geocities.com/CollegePark/Residence/4131. Menjelang tahun 2008, sekali lagi laman web sekolah diperbaharui dan bertukar wajah. Ia berpindah ke web hosting yang beralamat di http://semarakjb.tripod.com. Majalah tahunan yang diberi nama SEMARAK turut diterbitkan pada akhir 1998. Buku Panduan Pelajar yang dinamakan SEMARAK JAYA diterbitkan pada awal 1999 sebagai bahan rujukan utama pelajar terhadap SMKK, Peraturan Sekolah, panduan pembelajaran sehari-harian dan sebagainya. 

 

home