SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KEMPAS

   JOHOR BAHRU, JOHOR 

   TEL : 07 2320407 FAX : 07 - 2320409

TINTA PENGETUA

::Laman Utama  >> Tinta Pengetua

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya maka Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas, Johor Bahru dapat dipersembahkan untuk tatapan dan kemanfaatan banyak pihak, khususnya kepada seluruh warga pendidikan baik di dalam lingkungan sekolah ini mahupun di luar lingkungannya. Syabas dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Teknologi Maklumat Sekolah, khususnya Unit Laman Web yang telah dilantik kerana telah berusaha sedaya-upaya mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran serta kreativiti yang ada demi keberhasilan dalam menyediakan laman web ini sejak awal tugasan diberikan.

Pembentukan Majlis Teknologi Maklumat Sekolah-sekolah Daerah Johor Bahru (MATEM) lebih dilihat sebagai usaha sokongan ke arah mempertingkat keyakinan dan kesediaan penggerak organisasi pendidikan setempat terhadap keperluan berubah dan bertindak lebih pantas mengikut arus perdana yang melanda sistem pendidikan negara kini. Perihal “Sekolah Bestari”, “Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia”, “Mesra IT” dan “Sekolah/Pejabat Elektronik” yang menjurus ke arah pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah-sekolah adalah relevan dengan metafora IT seperti “Era Digital”, “Perkampungan Global”, “Dunia Tanpa Sempadan”, “Langit Terbuka”, “Maklumat di Hujung Jari”, “Masyarakat Bermaklumat” dan sebagainya yang hampir saban hari kita dengari dan bicarakan.

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi atau ‘information and communication technology’ (ICT) dalam pengurusan maklumat di sekolah-sekolah pada masa kini bukan sahaja relevan dengan keperluan semasa bahkan juga ada kalanya dirasakan semakin mendesak. Sekolah merupakan wahana (penyalur) pelbagai maklumat yang diperlukan oleh pelanggan sekolah bermula daripada pelajar, kakitangan guru, kakitangan bukan guru, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri hinggalah kepada Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa. Justeru, penyediaan, pembinaan dan pembangunan laman web sekolah dapat membantu mendekatkan interaksi antara sekolah dengan semua pihak tersebut, termasuklah ibu bapa dan masyarakat umum lantaran sifatnya sebagai penyalur maklumat yang lebih mudah dan pantas – lebih efektif dan lebih efisien.

Akhir kata, harapan saya semoga laman web ini bukan sahaja dapat menjadi penyalur pelbagai maklumat yang dapat dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang berkaitan dari semasa ke semasa bahkan juga dapat menjadi antara platform pemangkin ke arah pembudayaaan teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat sekolah secara menyeluruh dan bersepadu. Tindakan dan inisiatif pihak-pihak yang terlibat dalam penyediaan laman web ini diharapkan tidak bernoktah sampai di sini tetapi saya yakin dengan bantuan, keprihatinan dan partisipasi seluruh warga sekolah ini maka lebih banyak penambahbaikan dan pembaharuan akan dilakukan dari semasa ke semasa agar kewujudannya mampu menjadi wadah pilihan utama dalam konteks mendekatkan sekolah kepada inisiatif memesrai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seiring alaf baru masa kini..

Sekian, terima kasih.

“GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG”



HAJI BUNI BIN SUNADE
Pengetua,
Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas,
Johor Bahru, Johor.

 

 

home