 |
Pembinaan SMKK |
Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas (SMKK)
bermula pada awal tahun 1995 di atas tanah seluas 2.5
hektar di pinggir Jalan Dataran 4, Taman Kempas, Johor
Bahru. Lokasi taman di pinggir bandar ini adalah
sejauh kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Johor
Bahru. Menurut Encik Esa bin Abu Bakar, Naib Ketua
UMNO Cawangan Taman Kempas, pemilihan premis sekolah
menengah (sebagai salah satu cadangan pembangunan tanah
tersebut) diputuskan oleh Jawatankuasa Bertindak
penduduk setempat setelah mengambil kira keperluan
bersekolah menengah untuk anak-anak para penduduk Taman
Kempas dan kawasan sekitarnya. Ini kerana ibu bapa
di sekitar kawasan Kempas terpaksa menghantar anak-anak
mereka ke sekolah menengah yang lokasinya agak jauh dari
tempat tinggal mereka. Kesepakatan hasrat ini mendorong
jawatankuasa yang didukung oleh Pergerakan UMNO Taman
Kempas mengetengahkan pemohonan mendirikan sebuah
sekolah menengah di tapak tanah tersebut kepada pihak
berwajib. Kerja-kerja pembinaan bermula seawal
1995 dan bangunan sekolah yang tersergam indah mula
kelihatan sempurna menjelang akhir tahun 1997. |
Permulaan
Operasi SMKK
SMKK memulakan operasinya sebagai sebuah institusi
pendidikan pada 5 Januari 1998 (Isnin) dengan 21
orang guru, 6 orang staf sokongan dan 677 orang pelajar.
Sebelum itu, mesyuarat pertama guru-guru yang di
tempatkan di sekolah ini diadakan pada 2 Januari 1998 (Jumaat).
Pendaftaran pelajar diadakan pada 3 Januari 1998 (Sabtu).
Pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 4 didatangkan dari
SMK Sri Rahmat, SMK Dato' Abdul Rahman Yassin dan SMK
Bandar Baru UDA, sementara pelajar-pelajar Tingkatan
Peralihan dan 1 dari SK Kempas, SK Kampung Maju Jaya,
SJKC Kempas Baru, serta beberapa sekolah rendah
lainnya.
1998 menyaksikan SMKK beroperasi pada sesi persekolahan
sebelah pagi sahaja. Sebanyak 22 buah kelas
dibuka dan kelas-kelas tingkatan 1 dan 2 dinamai Arif,
Bestari, Cemerlang, Dedikasi, Erat, Fitrah, Gemilang,
Hikmah dan Ikhtiar. Dari semasa ke semasa sejak
pembukaannya, SMKK sentiasa menerima kemasukan
pelajar-pelajar baru dan mendapat bekalan tenaga
pengajar. Sehingga November 1998, jumlah pelajar
bertambah menjadi 835 orang, sementara jumlah guru
adalah sebanyak 51 orang.
Bermula pada tahun 1999, SMKK menjalani persekolahan
untuk sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi menampung
pelajar-pelajar Tingkatan Peralihan, Tingkatan 3,
Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 , sementara sesi petang
untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 . Pada
tahun itu, jumlah guru bertambah daripada 51 orang
kepada 64 orang sementara jumlah staf sokongan bertambah
kepada 7 orang. |
Pembentukan
Identiti SMKK
Sebagai sebuah sekolah baru pada ketika itu, SMKK mula
bergerak ke arah pembinaan jatiditi, identiti dan
wajah sendiri serta kecintaan terhadap SMKK oleh
warganya. Pelbagai usaha telah, sedang dan akan
dilakukan dan akan terus dipertingkat untuk pembinaan
budaya SMKK yang positif. Agenda dan aspirasi sekolah
dimaktubkan selaras dengan dasar kependidikan negara
serta hasrat Falsafah Pendidikan Negara. Peraturan
Sekolah digubal dan dikuatkuasakan. Lencana, bendera dan
lagu SMKK dicipta. Sebuah Jawatankuasa Penaja PIBG
dibentuk dan memulakan aktivitinya seawal Julai 1998.
Kerja-kerja dalam projek keceriaan sekolah terus
menerus dijalankan. Pelbagai program pembangunan staf
dan pelajar, akademik dan ko-kurikulum dirancang dan
dilaksanakan dari semasa ke semasa. |
Media
Informasi SMKK
Laman Web SMKK mula direkabentuk yang dinamakan
SEMARAK WEB (SMKK On-Line) itu mula dikunjungi
pelungsur Internet mulai 16 Ogos 1998 di alamat
http://www.johorlife.com.my/smkk&g
Menjelang pertengahan 1999, SEMARAK WEB direnovasi,
bercirikan kesederhanaan dan kekemaskinian, di alamat
http://www.geocities.com/CollegePark/Residence/4131. Menjelang tahun 2008, sekali lagi laman web sekolah diperbaharui dan bertukar wajah. Ia berpindah ke web hosting yang beralamat di http://semarakjb.tripod.com.
Majalah tahunan yang diberi nama SEMARAK turut
diterbitkan pada akhir 1998. Buku Panduan Pelajar
yang dinamakan SEMARAK JAYA diterbitkan pada awal
1999 sebagai bahan rujukan utama pelajar terhadap SMKK,
Peraturan Sekolah, panduan pembelajaran sehari-harian
dan sebagainya. |